Malaysia Dateline

PH perlu buat pembaharuan elak ditinggalkan, ketinggalan

Senario politik semasa sebenarnya perlukan suatu anjakan baru. Dalam tempoh 60 hari mendatang kita akan lihat keputusan pilihan pengundi di Johor. Sebelum ini kita sudah lihat dan ditunjukkan apa yang dimahukan oleh pengundi di Melaka dan Sarawak.

Di Melaka, pengundi telah memilih BN dengan majoriti dua pertiga mengalahkan PH yang mendapat empat kerusi melalui DAP dan satu melalui AMANAH.

Walaupun didendangkan Umno itu jahat, zalim, gila, gagal, ianya tidak memberi kesan kepada pengundi lantas tetap memilih BN yang ditunjangi Umno.

Bersatu yang asalnya Umno malah calon-calon Bersatu yang sebelum ini menang atas tiket BN kemudian melompat juga tewas. Apa petunjuknya?

Bagi saya salah satunya ialah tiada pembaharuan. Retorika lama.

Kita bagi saya khususnya DAP mahu pun AMANAH atau KeADILan tidak syak lagi adalah parti atau gabungan melalui PH yang lebih baik berbanding Umno/BN atau Bersatu/PN.

Rekod kita sama ada di Selangor, Pulau Pinang mahu pun di Persekutuan selama 22 bulan cukup baik walau pun ada kelemahan. Tetapi jika dibandingkan dengan pentadbiran BN puluhan tahun dengan kita 22 bulan, jauh lebih baik kita.

Tetapi apa yang berlaku selepas 22 bulan, kita tumbang akibat pengkhianatan kawan-kawan? Kita tidak mampu bangun semula. Bukan setakat tidak mampu bangun, kita dilihat semakin tenggelam dan hanyut.

Dalam tempoh itu, ada pihak lain membuat kebangkitan seperti Muda dan Warisan. Kenapa?
Saya selalu apabila berbual dengan kenalan sebutkan begini.

Kita umpama jenama kereta yang hebat. Kita umpama BMW, Mercedez, Audi, Volvo, Rolls Royce, Aston Martin dan lain-lain.

Kita ada peminat atau penggemar tersendiri. Kita ada kelas tersendiri. Tetapi jika kita kekal dengan model yang sama bertahun-tahun, kita akan ditinggalkan dan ketinggalan.

Volvo contohnya amat diminati, tetapi untuk beberapa ketika Volvo tidak mengeluarkan model baru dengan “design” baru serta teknologi baru. Sedang pengeluar lain seperti Toyota dengan Harrier, Alphard dan Vellfire telah mengambil tempat.

Kemudian Volvo mengorak langkah keluarkan model baru dengan XC90 yang baru, XC60 dan XC40. Selain itu variasi sedan Volvo juga diperbaharui dengan S80, S60 dan S40 baru beserta teknologi hybrid. Volvo kembali mengambil tempatnya semula.

Kita sebagai parti juga sama. Dari dulu, sejak dulu, lebih 30 tahun rasanya kita diketuai, dipimpin oleh model itu. Setiap kali pilihan raya jika kita lihat di Parlimen, muka itu juga, berubah kawasan tetapi muka itu juga.

Dialah MP dia juga kadang-kadang Adun. Dia juga pengerusi Parti dia jugalah Presiden gabungan parti-parti. Dulu ada orang sebut beza nokia dengan iphone. Lebih kuranglah.

Kesimpulannya untuk kekal relevan, perlu ada pembaharuan bukan kekal dan angkuh dengan sejarah lama. Sejarah dijadikan panduan bukan bukti sentiasa malar segar. Sudah cukup kot…