Malaysia Dateline

PH perlu dipertahankan dalam usaha reformasi, memelihara perpaduan

 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya perlu dipertahankan bagi meneruskan usaha reformasi demi memelihara perpaduan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kehadiran PH di persada kuasa adalah atas mandat rakyat.

“Ironinya kehadiran PH juga adalah untuk mereformasikan institusi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya.

“Jadi, kerajaan PH perlu dipertahankan kerana isunya bukan hendak menggantikan sistem dengan Kerajaan Perpaduan, tetapi meneruskan usaha reformasi demi memelihara perpaduan.

“Mereka yang menganggu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain, sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mujahid menyifatkan, menafikan usaha reformasi selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah sebagai keterlaluan.

“Orang lain buat onar, tiba-tiba PH sebagai kerajaan yang melakukan reformasi pula dikatakan gagal?

“Kehendak rakyat mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab.

“Itu adalah hasrat murni untuk memelihara perpaduan dan PH cuba memenuhinya selama hampir dua tahun.

“Pembentukan kerajaan dengan mandat ini memandu kabinet PH untuk cuba memenuhinya melalui manifesto yang dipersetujui oleh parti-parti PH tetapi mengapa tiba-tiba semua ini ‘dibuangkan’ dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang kabur?,” soalnya.