Malaysia Dateline

PH perlu hulur tangan terima Mahathir tanpa ragu

                              Azam Mektar

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, berlumba-lumba penganalisa politik membuat ulasan, mengampu kerajaan tanpa mandat rakyat pimpinan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

Semalam mereka menyatakan Pakatan Harapan (PH) seharusnya menumpukan sahaja PRU-15 untuk mengambil alih kerajaan dan bukan masa ini demi kestabilan negara ketika berhadapan dengan ancaman kegawatan ekonomi serta Covid-19, sedangkan sidang Parlimen yang dijalankan Perikatan Nasional (PN) pun sekadar “cukup syarat”.

Hari ini mereka menggambarkan masa depan politik Tun Mahathir kian malap, terutamanya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti berkenaan.

Ia ditambah lagi dalam satu kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang dipetik Malaysia Dateline, menyatakan Ahli Parlimen Bersatu, yang duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat, 18 Mei lalu, perlu dilucutkan keahlian serta-merta.

Wan Saiful ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang kalah di Parlimen Pendang pada PRU-14 lalu lupa, Tun Mahathir adalah individu yang sangat berjasa dalam mengasaskan parti Bersatu sehingga tertubuhnya secara rasmi pada 8 September 2016. Sedangkan beliau hanya muncul bersama Bersatu pada Mac 2018 kurang tiga bulan sebelum PRU-14 dan terus menjadi calon.

Untuk rekod Bersatu menang 13 kerusi Parlimen pada PRU-14 menggunakan logo PKR, kini merosot satu kerusi selepas kekalahan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Sebenarnya Muhyiddin hanya bersama enam Ahli Parlimen (MP) asal Bersatu Shahruddin Md Salleh, Rina Harun, Redzuan Yusof, Faizal Azumu, Muslim Yahya dan Eddin Syazlee Shith. Selebihnya MP Bersatu kini terdiri dari pengkhianat PKR pimpinan Azmin Ali dan MP Umno yang keluar parti dan bersama Bersatu selepas terbentuknya kerajaan PH.

Ini adalah gambaran betapa goyahnya keyakinan PN dengan serangan Tun Mahathir dan kini dia menjadi objek untuk dilemah dan disingkirkan dari parti Bersatu demi kelangsungan cita-cita peribadi Muhyiddin.

Sudah pasti PH tidak akan membiarkan keadaan ini selepas Tun Mahathir menyatakan komitmen beliau, setia bersama rakan-rakan yang berjuang bersama sebelum PRU-14 lagi.

Membiarkan negara ini terus dikuasai PN adalah tindakan tidak bermaruah, kata Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Sudah pasti komponen PH perlu menghulurkan tangan menerima Tun Mahathir tanpa ragu-ragu, seandainya beliau dan rakan Bersatu yang lain terus sanggup menjunjung agenda perjuangan PH dan mengembalikan kerajaan mandat rakyat.

Saya menyarankan Tun Mahathir dan rakan-rakan Bersatu bersama mana-mana parti komponen PH sekiranya mereka benar akan dipecat seperti yang dinyatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif IDEA.

Sudah pasti saya juga akan berbisik kepada pimpinan AMANAH untuk mempelawa Tun M menyertai Parti Amanah Negara.

*Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional.