PH perlu kembalikan keyakinan pengundi kaum India, kata DAP

PH perlu kembalikan keyakinan pengundi kaum India, kata DAP
Pengundi kaum India mewakili 27 peratus daripada keesluruhan pengundi dalam Dun Rantau.- Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dun Rantau berkait rapat dengan pencorotan sokongan undi kaum India di kawasan itu, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP V. Sivakumar.

Sivakumar berkata, pendirian kaum India menjadi persoalan orang ramai kerana tidak diketahui adakah mereka masih setia dan menyokong kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) seperti PRU-14 yang lepas.

Katanya, kekalahan tiga kali selepas bertanding di PRK Cameron Highland, Semenyih dan yang terbaru di Rantau, telah memberi isyarat bahawa kaum India kecewa terhadap harapan tinggi yang diletakkan pada kerajaan tidak dipenuhi.

V Sivakumar

“Walaupun majoriti kaum India masih menyokong kerajaan PH, tetapi ada segelintir dari mereka telah mengubah pendirian. Kaum India mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap kerajaan baru ini.

“Mereka mengharapkan peluang dalam sektor awam, perniagaan, pembinaan, pendidikan, pertanian dan sebagainya. Namun, selepas 10 bulan PH memerintah, mereka rasa kecewa kerana ekspektasi mereka tidak dipenuhi.

“Isyarat ini telah ditunjukkan secara jelas dalam pilihanraya kecil Rantau yang telah memberi kekalahan kepada calon PKR-Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Batu Gajah ini berkata,  sejak dahulu lagi kaum India rata-rata menjadi penyokong setia kepada kerajaan. Walaupun begitu, sentimen itu telah berubah apabila kaum India diabaikan dalam arus pembangunan ekonomi perdana oleh kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah menegaskan, sokongan kaum India akan terus menghakis sekiranya janji dan manifesto yang ditabur tidak ditunaikan dan di ambil tindakan.

“Pakatan Harapan masih mempunyai peluang untuk memperbaiki keadaan jika dapat bertindak segera. Jangan sampai nasi menjadi bubur,” ujarnya.