Malaysia Dateline

PH perlu kenalpasti medan pertempurannya

Muhyiddin diselamatkan dengan perpecahan dalam kalangan pembangkang.

Situasi politik tanah air masih tegang, sarat dengan pelbagai kemungkinan. Gelanggang pertempuran kini berada di Dewan Rakyat, menguji keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin dengan Belanjawan 2021.

Muhyiddin bagai telur di hujung tanduk. Dengan Najib Razak, Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh yang jelas tidak memihak kepadanya, undi sokongan yang diperolehi Muhyiddin sudah tentu gagal mencecah separuh daripada bilangan ahli dewan. Dengan kata lain, Muhyiddin sedang menerajui sebuah kerajaan minoriti.

Situasi ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, namun Muhyiddin diselamatkan dengan perpecahan dalam kalangan pembangkang, yang gagal menyatukan kesemua kekuatan sedia ada. Andaikan Anwar Ibrahim menggantikan Muhyiddin, beliau juga akan berdepan dengan situasi yang sama.

Justeru itu, satu gegaran yang lebih kencang diperlukan untuk merobek kerajaan Muhyiddin. Memandangkan perbalahan antara Umno dengan PPBM semakin meruncing, maka senario paling mungkin yang dapat dibayangkan adalah penarikan diri Umno dari gandingan politik ini.

Cuma, Umno sendiri tidak bersatu ketika berdepan dengan PPBM. Contoh terbaik apabila Umno mendesak dengan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak Oktober lalu, tetapi tidak sepakat dalam hal calon TPM sehingga hari ini.

Sesungguhnya, perpecahan dalaman menjinakkan Umno di depan PPBM. Namun, kita perlu sedar bahawa ada sesuatu yang mengikat Umno, Pas dan PPBM bersama tatkala mereka bergelut untuk merebut kuasa, iaitu “perpaduan Melayu/Muslim”.

Biarpun digelar retorik, mahupun propaganda, hakikatnya tiada parti antara Umno, Pas dengan PPBM yang sanggup dilemparkan tuduhan “menjatuhkan kerajaan yang berteraskan parti Melayu/Muslim” lantaran keputusan mereka.

Sama ada mereka termakan dengan propaganda sendiri, mahupun benar ikhlas memperjuangkan agenda ini, atau tidak bersedia menanggung akibatnya – kesemua ini menjurus kepada ikatan kerajaan Muhyiddin – mungkin longgar dalam hubungan yang tegang tetapi tidak terputus sama sekali. Mereka menyasarkan DAP sebagai “musuh bersama”, lantas cuba sedaya-upaya untuk menghalang DAP daripada kembali ke Putrajaya.

Apa yang pasti, mereka berjaya meyakinkan penyokong mereka bahawa kerajaan yang ditunjangi tiga parti Melayu/Muslim ini mampu mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

Sama ada hantu wujud dalam almari atau tidak, yang penting, kehadiran bomoh bersama dua biji kelapanya telah berjaya membawa ketenteraman psikologi, agar budak yang ketakutan itu menghabiskan mi kari dalam mangkuknya.

 Pembangkang gagal mengenalpasti siapakah “musuh bersama” mereka.

“Ikatan” dalam kalangan pembangkang

Sebaliknya, “ikatan” sedemikian hilang dalam kalangan pembangkang. Tepuk dada tanya selera, apakah matlamat yang dikongsi bersama oleh pembangkang sekarang, untuk merampas semula kuasa daripada Muhyiddin?

Bukan sahaja pembangkang gagal menamakan calon Perdana Menteri yang disepakati, malah mereka gagal mengenalpasti siapakah “musuh bersama” mereka. Antara Muhyiddin dengan Anwar, siapa pilihan Mahathir? Antara Mahathir dengan Najib, siapa pula pilihan Anwar?

Kita tahu jawapannya, cuma ada antara kita keberatan untuk menerima realiti. Persoalannya, jikalau pemimpin pembangkang sendiri bertanggapan bahawa wujudnya “musuh” dalam selimut, yang lebih bahaya berbanding pengkhianat dan kleptokrat, apa lagi yang tinggal dalam hubungan kerjasama ini?

Kegagalan untuk merungkaikan permusuhan antara dua tokoh ini, menimbulkan keraguan sesama diri, malah kekeliruan dalam kalangan penyokong.

Penyokong PH sudah semestinya sangsi sama ada Mahathir lebih rela bekerjasama dengan Muhyiddin-Azmin berbanding Anwar, juga alasan-alasan di sebalik pilihan ini; sementara ada yang tertanya-tanya, apakah Anwar sanggup bekerjasama dengan Najib Razak, secara langsung atau tidak, demi menjatuhkan kerajaan yang kononnya sedang menyelamatkan kleptokrat?

Di sini masalahnya. Anwar dibebankan tekanan untuk membuktikan bahawa dirinya memiliki angka tanpa sokongan Mahathir, lantas mengalih segala tumpuannya untuk permainan angka. Keasyikan dengan angka ini mempengaruhi langkah politik Anwar.

Ia menjelaskan kemarahan penyokong PH apabila bacaan kedua Belanjawan 2021 diluluskan, kerana apa yang dituntut oleh penyokong adalah PH bangun untuk menyatakan bantahan, tetapi Anwar pula duduk mencongak risikonya jikalau gagal mencukupkan nombor yang kukuh dan meyakinkan.

Senario sedemikian cukup membimbangkan, apabila PH gagal menggarap imaginasi penyokongnya. Agendanya berselerak dan hujahnya bertaburan, mungkin menjurus kepada kesudahan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sekejap penyokong dilambung harapan tinggi bahawa kerajaan Muhyiddin sudah tumbang, sekejap pula penyokong dihumban ke lembah kekecewaan kerana kegagalan ahli Dewan Rakyat mencukupkan 15 orang untuk meminta undian secara belah bahagi.

Barangkali PH perlu mempertimbangkan cadangan untuk mengetepikan misi merampas semula kuasa daripada Muhyiddin buat sementara waktu. Beberapa persoalan sebagaimana yang disebut wajar dirungkaikan, sebelum menyusun langkah politik seterusnya. PH perlu mengenalpasti kawan dan lawannya, juga kembali kepada penyokongnya.

Ringkasnya, PH perlu mengenalpasti di manakah medan pertempurannya, dan mengapa dirinya berada di tengah-tengah medan pertempuran. Tidak malu jikalau mati berdiri, tetapi hidup kita sia-sia jikalau tidak tahu untuk apa kita berada di dunia ini.

 

*LIM HONG SIANG merupakan Pengarah Eksekutif SAUDARA (Penyelidikan Sosio-Budaya), bekas editor dan penganalisis isu-isu semasa.