Malaysia Dateline

PH perlu kestabilan rakyat pulihkan ekonomi, laksana reformasi, kata Azmin

Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi dan melaksanakan mandat rakyat.

Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian Pas dan Umno untuk memberikan dukungan penuh kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Beliau mengulas kenyataan dibuat Abdul Hadi pada Selasa lepas yang dipetik Harakahdaily berkata, Pas dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Meskipun terdapat perjanjian dalam Pakatan Harapan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri kepada penggantinya Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum habis penggal penuhnya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, dukungan bipartisan terhadap Perdana Menteri merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun. Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud.

“Namun, setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat. Kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,’ ujarnya.