Malaysia Dateline

PH perlu lupakan episod kerjasama dengan Mahathir, kata AMK

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berpandangan sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Tun Dr Mahathir.

Katanya, PH perlu sedar bahawa penglibatan Tun Dr Mahathir yang cuba menunggang jenama ‘grand coalition’ hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering beliau gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Tun Mahathir semalam yang mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim yang gagal mendapat sokongan majoriti yang kukuh.

Akmal berkata, kenyataann Tun Mahathir semasa majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (PENAJA) dilihat tiada yang mengejutkan dan menyerlahkan hakikat keterdesakan politik beliau.

“Amat malang apabila majlis yang sepatutnya digunakan oleh YB Tun Dr. Mahathir untuk menerangkan tentang hala tuju partinya, dijadikan sebagai platform untuk menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Sikap YB Tun Dr. Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Parti Pejuang itu hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya.

Walhal katanya, baru-baru ini Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi keterbukaan beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan Pakatan Harapan serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama.

“Tun Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikap beliau yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU-14.

“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan KEADILAN dan Pakatan Harapan,” ujarnya.