Malaysia Dateline

PH perlu reform jika ingin ulangi kejayaan 2018

Pakatan Harapan (PH) harus membuat pembaharuan atau ‘reform’ sekiranya mahu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Malah kemenangan memberangsangkan yang telah diperolehi dalam tahun 2018 hasil keyakinan rak”yat memerlukan pengorbanan yang berganda seandainya kejayaan yang sama ingin diperolehi.

Menurut Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Nor, keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini harus menjadi iktibar kepada PH seandainya ingin menambat semula sokongan seperti sebelum ini.

“Kejayaan BN dalam PRN Melaka baru-baru ini tidak harus dipandang enteng kerana sokongan majoriti dua pertiga yang mereka perolehi memberi kesan sehingga mampu mendapat kembali tampuk pemerintahan negeri.

” Post mortem yang dilakukan oleh PH harus dilihat dari pelbagai aspek kerana kekhilafan yang berlaku dalam PRN Melaka ternyata memberi impak yang besar kepada dokongan terhadap PH.

” Kegagalan PH melaksanakan bedah siasat secara terperinci akan memberi kesan bukan sahaja terhadap PRN Sarawak bulan Disember yang akan datang, tetapi juga PRU yang ke-15 nanti,” tegas beliau ketika ditemui.

Dalam PRN Melaka 20 November yang lalu menyaksikan BN berjaya menguasai majoriti dua pertiga dan meninggalkan PH dibelakang.