Malaysia Dateline

Sabar dengan karenah PN, pastikan Umno tidak berkuasa semula sekarang

Strategis Komunikasi DAP, Tony Pua berpendapat, Pakatan Harapan dan penyokongnya perlu bersabar sedikit waktu lagi melayani karenah, kelemahan dan khianat Perikatan Nasional (PN) dari membolehkan Umno menguasai semula negara.

Dalam tulisannya petang ini, Setiausaha Komunikasi DAP itu berkata, jika Umno berkuasa semula sekarang, sudah tentu mereka akan menyatukan semula kekuatan mereka untuk muncul lebih kuat selepas pilihan raya umum ke 15 nanti.

Bagi beliau, dengan apa yang berlaku sekarang, PH mempunyai peluang yang cerah untuk menjatuhkan perdana menteri yang ada.

“Kita kini mempunyai peluang terbaik untuk menjatuhkan PM yang mengkhianati mandat rakyat kepada PH pada tahun 2018 dengan membentuk kerajaan pintu belakang bersama Umno dan Pas.

“Tetapi tidakkah kelihatan seperti jika dia meletakkan jawatan, Umno akan berjaya menjadi PM?

“Dan apabila mana-mana pemimpin Umno menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan bebas (atau mungkin akan mendapatkan semula kuasa)?

“Dan apabila Umno menjadi headhoncho (kepala samseng) dalam kerajaan semula, anda pasti boleh percaya bahawa mereka akan menyatukan kuasa politik mereka untuk muncul lebih kuat selepas pilihan raya umum seterusnya.

“Atau adakah kita berfikir selangkah ke hadapan untuk menghentikan kleptokrat daripada melepaskan diri bebas, atau lebih teruk mendapatkan semula kawalan politik dan kuasa, walaupun ia bermaksud bertoleransi dengan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak kompeten dan khianat di tempat duduk panas hanya sedikit masa lagi,” kata beliau dalam tulisannya.

Bagi beliau, ia adalah lebih baik untuk mengawal Umno, kerana PH dan rakyat boleh menyingkirkan Muhyiddin dan Azmin dalam pilihan raya umum seterusnya.

“Apa yang anda fikirkan? Bincangkan,” kata beliau dalam tulisan itu yang memohon maklum balas dari pembaca terhadap tulisannya itu.