Malaysia Dateline

PH perlu tampilkan diri bukan kejar kuasa, untuk dukung raja, urus negara secara bersama

Pakatan Harapan (PH) disarankan agar tampil menzahirkan bahawa bukan kuasa yang didambakan tetapi bertujuan untuk mendukung Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dan menguruskan negara secara bersama.

Pengarah Komunikasi PH Selangor Azli Yusof (gambar) berkata, kerajaan baharu perlu menumpukan usaha menyelamatkan negara dan rakyat dengan menggandakan usaha memerangi Covid-19.

Timbalan Ketua AMANAH Selangor itu mengulas penarikan diri Ahli Parlimen Umno daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan peletakan jawatan menteri.

Azli juga berkata, PH perlu menawarkan diri untuk menstabilkan politik dan pentadbiran kerajaan, mengembalikan kepercayaan pelabur dan peniaga serta memulihkan ekonomi.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan baharu perlu menawarkan usaha untuk mengurus negara secara bersama-sama.

Azli turut mencadangkan PH mengambil pendirian agar PRU15 ditangguhkan sehingga wabak reda.

“Insya-Allah rakyat akan bersama kita,” kata beliau menerusi catatannya di Facebook.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno bersama Yang di-Pertuan Agong dalam pertembungan dengan kerajaan PN.

Sehubungan itu, Umno memutuskan untuk keluar dari kerajaan PN, kata beliau dalam sidang media bersama pemimpin kanan Umno termasuk bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ekoran itu, sehingga kini seorang menteri dari Umno, Datuk Seri Anuar Nasarah telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.