Malaysia Dateline

PH perlu tumpukan PRU-15, hentikan permainan angka

Pakatan Harapan perlu menumpukan usaha kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan bukannya teralih perhatiannya kepada permainan angka untuk menentukan siapa yang mampu mendapatkan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri

Saya bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Pembangkang yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Pakatan Harapan perlu menumpukan usahanya kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan bukannya teralih perhatiannya kepada permainan angka untuk menentukan siapa yang mampu mendapatkan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

Semasa melawat Teater “Impian Malaysia” di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, Anwar mengatakan yang Pakatan Harapan perlu bergerak ke hadapan, mengukuhkan idealisme rakyat, dan fokus untuk menggerakkan jentera bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat.

Malaysia berada dalam situasi luar biasa, di mana Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, kerana inilah Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan kerana ini jugalah beliau tidak mahu menamatkan darurat yang kononnya diisytiharkan untuk membantu usaha melawan wabak Covid-19.

Kita mungkin telah sampai ke satu peringkat di mana tidak mudah untuk kita mencari sesiapa pun yang boleh mendapatkan sokongan majoriti mutlak Ahli-ahli Parlimen.

Muhyiddin telah mengatakan yang darurat ini akan berakhir pada 1 Ogos, diikuti dengan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun melihat kepada situasi yang bakal dihadapi, tidak kelihatan seperti darurat ini akan ditamatkan pada 1 Ogos, mahupun PRU15 dilaksanakan dalam suku ketiga atau keempat tahun ini.

Muhyiddin sedang mabuk dengan kuasa mutlak yang dinikmatinya sekarang tanpa sebarang proses semak imbang daripada Parlimen, inilah sebab adanya Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) yang terkini yang memberikan kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk menguatkuasakan perundangan perbekalan tambahan, sedangkan Proklamasi Darurat sedia ada ini dijadualkan tamat 1 Ogos, hanya empat bulan dari sekarang.

Saya bersetuju dengan Anwar, tidak ada sebarang sebab untuk wujudnya satu ordinan darurat yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk meluluskan belanjawan tambahan tanpa melalui Parlimen, kerana perkara ini adalah satu perkara yang tidak beretika, tidak bertanggungjawab, dan tidak demokratik.

Belanjawan 2021 yang diluluskan empat bulan lalu telah memperuntukkan sejumlah wang yang mencukupi untuk tindak balas Covid-19 negara kita.

Sekiranya benar-benar perlu perbekalan tambahan, Muhyiddin patut menasihati Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, memandangkan Baginda telah pun bertitah mengatakan yang Parlimen boleh bersidang semasa darurat.

Tambahan lagi, sebarang perbekalan tambahan untuk melawan wabak Covid-19 pastinya akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli-ahli Parlimen, kerana semua Ahli Parlimen daripada semua parti politik mahu melihat wabak Covid-19 ini berakhir secepat mungkin.

Malah, saya telah lama menyeru supaya Parlimen dipanggil bersidang untuk membolehkan kita menggunapakai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk mengawal wabak Covid-19 supaya kehidupan normal dan proses pemulihan ekonomi dapat bermula dalam suku keempat tahun ini.

Amatlah ironi apabila Parlimen kita sedang digantung sidangnya, dengan darurat diisytiharkan, kita masih lagi salah satu negara dengan prestasi terburuk di Asia dalam melawan wabak Covid-19 — dengan mencatatkan salah satu gelombang penularan terpanjang di dunia, yang berlarutan hampir lapan bulan sejak Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September tahun lalu.

Laporan 1,133 kes baharu semalam, walaupun selepas negara kita mencatatkan kadar peningkatan tiga angka baru-baru ini, menunjukkan yang kita masih lagi sedang bergelut untuk mengawal gelombang ketiga wabak ini.

Adakah kerajaan Muhyiddin mampu untuk mengawal penularan wabak ini menjelang 1 Ogos atau adakah akan ada gelombang keempat Covid-19 untuk memberikan alasan untuk meneruskan lagi proklamasi darurat?

Hakikat rejim sedia ada yang dibentuk melalui pintu belakang dan secara tidak sah ini telah menyebabkannya tidak bertoleransi kepada perilaku-perilaku demokratik, yang menjadi sebab mengapa mandat parlimen untuk menurunkan had umur mengundi kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dalam pilihan raya yang akan datang dicabuli dan usaha pindaan perlembagaan ini disabotaj.

Boleh Muhyiddin menjelaskan, mengapa 50 tahun yang lepas, United Kingdom boleh melaksanakan mandat Parlimen untuk memberikan hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh setahun selepas undang-undang tersebut dipinda dan diberikan kelulusan Diraja, tetapi 50 tahun kemudian, di Malaysia, kita memerlukan lebih daripada tiga tahun untuk melaksanakan langkah ini? Inilah kakistokrasi yang terburuk sekali!