Malaysia Dateline

PH, PH Plus usah berkhayal ambil alih kerajaan jika gabungan longgar, cacamerba

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim mengingatkan Pakatan Harapan (PH) atau PH Plus supaya tidak perlu berkhayal untuk mengambil alih kerajaan jika gabungan mereka longgar dan berada dalam keadaan cacamerba.

Kata beliau, apabila situasi begini berlaku, sama ada PH atau PH Plus, mereka tidak lagi berpeluang untuk mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat.

“Konflik ini akan menghilangkan keyakinan ahli-ahli parlimen untuk menyokong PH atau PH Plus sebagai kerajaan, gabungan longgar seperti ini tidak boleh diharap untuk diberi amanah besar memerintah negara.

“Pokoknya adalah kesatuan sama ada dalam PH itu sendiri atau PH Plus, jika perkara ini tidak mampu diuruskan, isu calon PM tidak berbangkit sama sekali,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Katanya, negara dan rakyat tidak perlu dirisikokan untuk diperintah oleh sebuah kerajaan yang dikuasai oleh gabungan parti-parti yang gagal mengurus diri mereka sendiri.