Malaysia Dateline

PH Plus diseru fokus runding agihan kerusi, kempen pengundi muda 18 tahun

Pakatan Harapan (PH) Plus perlu menumpukan kepada persiapan jentera pilihan raya terutama tentang rundingan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, 52 kerusi Parlimen yang ditandingi Bersatu di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya lalu, perlu dibuat rundingan semula bersama komponen parti PH plus.

“Pemuda AMANAH Nasional menyokong kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar diperkasakan PH Plus.

“Pemuda AMANAH Nasional melihat PH Plus perlu fokus kepada persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka pada tahun hadapan terutamanya dari sudut agihan kerusi Parlimen dan DUN.

“Penekanan kepada kempen pengundi muda 18 tahun yang dijangka didaftarkan secara automatik bermula Julai 2021, perlu juga diberikan perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, PH dalam satu kenyataannya mengajak pakatan pembangkang untuk fokus membangunkan kesatuan PH Plus agar dapat bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya akan datang.

Hal itu ditegaskan Mohamad dan Guan Eng susulan keputusan undi belah bahagian kelmarin yang menyaksikan pembangkang tewas dengan 108 undi ketika membantah Belanjawan 2021.

Mereka berpendapat PH tidak harus membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang hanya memperalatkan gabungan itu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri demi mendapatkan tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).