Malaysia Dateline

PH Plus perlu lebih kuat berdepan PRU-15

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, menggariskan lima elemen penting bagi menyahut seruan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar satu gabungan besar dapat dibentuk bersama kesemua pakatan pembangkang.

Beliau berkata, PH Plus ketika ini perlu mempertahankan kedudukan pakatan pembangkang supaya lebih kuat, hebat dan meyakinkan untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Suka atau tidak, satu lagi perubahan dalam kerajaan Persekutuan melalui kaedah bukan pilihan raya akan terus merosakkan landskap politik di Malaysia.

“Kita harus membiarkan pengundi membuat keputusan mengenai kerajaan Persekutuan berikutnya pada pilihan raya umum akan datang.

“Biarkan pengundi menilai antara 22 bulan pemerintahan PH dan rekod pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ong menegaskan, PH perlu berunding dengan kerajaan di peringkat pusat tentang perjanjian pembekalan dan keyakinan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan reformasi institusi.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan harus mencontohi apa yang dilakukan di Perak di mana semua wakil rakyat pembangkang bersetuju memberi sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar baharu dan kerajaan negeri bersetuju melaksanakan reformasi institusi yang tertentu.

Katanya, perjanjian pembekalan itu menetapkan bahawa kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing, selain boleh menghadiri mesyuarat jawatankuasa dan peringkat daerah.

Menurut Ong, aturan serupa perlu dibuat di peringkat Persekutuan di mana Ahli Parlimen pembangkang akan mendapat bahagian yang adil sebagai sebahagian daripada pakej pembaharuan institusi dan demokratik yang lebih besar.

“Elemen ketiga, mewakilkan seorang jurucakap dari setiap parti untuk memainkan peranan sebagai badan semak dan imbang pada setiap kementerian kerajaan.

“Selain itu, PH perlu memberi input dan cadangan mengenai langkah-langkah berkaitan Covid-19 di seluruh spektrum dasar.

“Pada masa sama, bersedia untuk pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang dan juga PRU-15,” katanya lagi.