Politik adalah perang tanpa menumpahkan darah manakala perang bersenjata adalah politik berdarah. Percaya akan menang perang adalah prasyarat untuk kemenangan dalam perang atau pun dalam pilihan raya umum.
Pakatan Harapan (PH) boleh memasang keyakinan menang jika ada persefahaman taktikal dengan parti-parti pembangkang yang lain. Bukan khemah besar; bukan khemah kecil. Bukan kerjasama; bukan muafakat. Tidak perlu manifesto bersama; tidak perlu muafakat apa pun. Yang perlu adalah kesanggupan berbincang dan berunding.
Ambil senario di Johor sebagai contoh. Mungkin boleh dipakai kemudian di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.
Fasist Jepun tidak dapat dikalahkan jika Parti Kuomintang pimpinan General Chiang Kai Sheik tidak mengadakan front bersatu dengan Parti Komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tze Tung. Contoh ini sudah jadi klise kerana sering kali disebut.
Kita beri contoh lain, contoh tempatan di Tanah Melayu sendiri dalam perjuangan menuntut Kemerdekaan. Kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman yang sanggup berunding dengan Ching Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya telah memberi tekanan kepada kolonial Inggeris untuk segera memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Itu kesan perundingan Tunku-Ching Peng.
Analogi ini boleh diguna pakai dalam keadaan sekarang khususnya antara PH dan PN. Bermula dengan Johor.
Dalam PRU14 tahun 2018, di kawasan Parlimen Johor yang mempunyai 26 kerusi, pembahagian dalam kalangan PH ketika itu ialah PPBM (Bersatu) 10 kerusi; Keadilan 8 kerusi, DAP 6 kerusi dan AMANAH 2 kerusi.
Keputusan PRU14 di Johor adalah seperti berikut: PPBM menang 5 kalah 5; Keadilan menang 7 kalah 1, DAP menang 5 kalah 1 dan AMANAH menang 1 kalah 1.
PH dan PN di Johor boleh mulakan bincang. Bukan bincang nak buat khemah besar tetapi bincang untuk atur kerusi. Bukan muafakat politik dengan konsep abstrak, tetapi mencari jalan pragmatik dan praktikal untuk elakkan bertembung sesama sendiri dalam PRU15 yang kesudahaannya Umno dan BN yang menang. Bukan kerana Umno BN kuat tetapi kerana pembangkang berpecah, berperang sesama sendiri.
Peraturan mudah boleh digunapakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang PPBM (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati.
Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu (PN) perlu hormati. Mungkin 50 peratus pengagihan kerusi dapat diselesaikan kemudian yang bermasalah 50 peratus lagi boleh bincang baik-baik.
Tidak dinafikan ada masalah-masalah praktikal di beberapa tempat. Misalnya di Muar dulu dimenangi oleh PPBM, tetapi kini ahli parlimen Muar berada dalam Parti Muda. Begitu juga di Seri Gading, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Parti Pejuang.
Hal yang sama berlaku di parlimen Simpang Renggam, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Keadilan.
Hal-hal seperti ini bukan tidak boleh diselesaikan. Boleh, syaratnya berlapang dada dan berbincang.
Begitu juga di Segamat, di Batu Pahat dan di Tebrau, dulu dimenangi oleh Keadilan tetapi kini ketiga-tiga ahli parlimen itu telah melompat keluar meninggalkan Keadilan. Hal-hal semacam ini boleh bincang. Ada jalan penyelesaiannya.
DAP kita faham sukar untuk berunding dengan Bersatu. Kita hormati pendirian itu tetapi hakikat di lapangan, DAP dalam Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu masih menang 10 kerusi DUN, hanya kalah 4 kerusi sahaja.
Manakala Keadilan masuk bertanding 20 kerusi kalah 19, menang satu sahaja di Bukit Batu, itu pun dengan majoriti tidak sampai 200 undi.
Hal yang sama berlaku pada AMANAH. Semua calon terbaik AMANAH seperti Hj Aminolhuda (Pengerusi AMANAH Johor dan Pengerusi PH Johor), Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat kalah dalam PRN Johor, kecuali Salahuddin Ayub seorang sahaja calon AMANAH yang menang di DUN Simpang Jeram.
DAP tidak bertembung dengan Bersatu (PN) dalam PRN Johor yang lalu tetapi Keadilan dan AMANAH terpaksa menghadapi banyak penjuru terutama BN dan PN yang berkesudahan PH berada di tempat ketiga.
Jadi, kepada pimpinan tertinggi PH, fikir-fikirlah.
Baca Siapa kata Umno akan kembali terajui kerajaan selepas PRU15?
Baca Pelajar tahfiz lari sebab tak tahan diliwat senior sejak 2020