PH-PPBM fokus kerjasama lupakan Pas, gesa Pemuda Amanah

PH-PPBM fokus kerjasama lupakan Pas, gesa Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional menyeru seluruh pimpinan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama keempat-empat parti berbanding terus berunding dengan Pas untuk bersama-sama dalam pakatan pembangkang.

Pemuda Amanah Nasional menyeru seluruh pimpinan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama keempat-empat parti berbanding terus berunding dengan Pas untuk bersama-sama dalam pakatan pembangkang.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, lebih berbaloi jika mengadakan rundingan dengan parti-parti dari dari Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

“Majoriti rakyat menginginkan Najib Razak ditamatkan penggal sebagai Perdana Menteri dalam PRU-14. Pakatan Harapan – PPBM bertanggungjawab untuk memenuhi aspirasi jutaan rakyat.

“Jika masih bergerak dalam mode tidak ketahuan hala seperti ini, jangan buat-buat terkejut kalau Umno Barisan Nasional menang mudah pasca PRU-14 nanti. Menang bukan kerana mereka kuat, tapi kita yang lemah dan lambat membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ramalan bekas penolong setiausaha agung PBB, Dr Jomo Kwame Sundaram yang berkata besar kemungkinan pembangkang akan kalah jika pilihan raya umum (PRU) diadakan pada April ini.

Bercakap di sebuah forum di Kuala Lumpur baru-baru ini, Jomo berkata sebahagian daripada faktor ramalannya ialah berdasarkan kegagalan pembangkang menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat.

“Mereka tidak mampu bertindak bersama dan tidak bersedia berdepan pilihan raya yang mencabar,” katanya, memetik Malaysiakini.

Menurut Shazni, Pakatan Harapan dan PPBM sangat kesuntukan masa untuk memperkukuh kerjasama dan gerak kerja jentera di peringkat bawah.

“Lebih banyak masa diambil untuk berunding dengan Pas, lebih lemah kedudukan koalisi untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional. Pas kelihatan sedang ‘membeli waktu’ dengan syarat-syarat tidak masuk akal dan heretan masa itu pastinya menguntungkan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau juga berkata, tiada jaminan ‘pengkhianatan kerusi’ tidak akan berlaku dengan mengambil contoh kerusi Kota Damansara, Selangor dan Sungai Acheh Pulau Pinang pada PRU13.

“Ketika Pakatan Rakyat (dahulunya) mempunyai calon terbaik sebagai Perdana Menteri pun, pengkhianatan kerusi boleh berlaku. Apakah jaminan menuju PRU-14 ini, pengkhianatan versi baharu tidak akan berlaku?

“Lebih merisaukan apabila rundingan melibatkan Timbalan Presiden parti sebagai pemimpin tertinggi Pas, yang semua maklum pada bila-bila masa sahaja ketetapan tersebut boleh di’veto’ Presiden Pas sebagai pemutus mutlak,” katanya.

Dalam PRU13, PKR dan Pas bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Acheh.

PKR dan Pas turut bertembung di Kerusi Kota Damansara pula, apabila Ridzuan Ismail (Pas), bertanding menentang Mohd Nasir Hashim (PKR-penyandang).

 

TAGS