Malaysia Dateline

PH Pulau Pinang tidak perlu jajaran politik baharu

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah berjaya mengekalkan kuasa pentadbiran negeri sejak 2008 dan keputusannya menunjukkan PH menang bergaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan meraih lebih dua pertiga majoriti yang menggabungkan DAP, PKR dan AMANAH.

Bagaimanapun selepas itu, empat kerusi dibawa lari pengkhianat kepada Bersatu dan selebihnya Umno tinggal batu nisan dan Pas dengan angka ‘wahid’.

Sejajar dengan itu kata Pengerusi AMANAH negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad, secara umumnya negeri itu amat stabil, kukuh dan tidak memerlukan jajaran politik baharu.

Malah tambah beliau, rakyat Pulau Pinang berpuas hati dengan kepimpinan telus, tadbir urus yang baik dan hasil kemakmuran negeri dapat dinikmati rakyat pelbagai kaum dan agama, di mana faktor ini menambah keyakinan bahawa kuasa pentadbiran dapat dikekalkan dalam PRU ke-15.

“Persoalannya apakah perkiraan dan pola pengundian Melayu-Islam akan mengekalkan status-quo dengan memberi undi kepada Umno dan PN (Umno-Bersatu-Pas) atau memberi mandat kepada PH jika ingin mengukuhkan kedudukan Exco dan Adun Melayu-Islam dalam kerajaan negeri.

“Pilihannya sudah pasti dengan memenangkan calon dari PH dalam PRU ke-15 dan kesan jajaran baharu di peringkat negeri tidak kritikal. Tidak ada keperluan untuk itu kerana iklim politik Pulau Pinang menunjukkan ada kestabilannya.

“Walau bagaimanapun, jajaran baru melibatkan kerusi-kerusi Parlimen seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau akan terkesan dan akan menjadi pertarungan hebat antara AMANAH, Umno, Pas, Bersatu dan PKR,” kata beliau ketika ditemui Malaysia Dateline.

Ujarnya lagi, berdasarkan prestasi semasa PN, kelebihan kerusi- kerusi Parlimen ada pada PH, namun faktor calon dan jentera pilihan raya perlu diberi keutamàan.

Tegasnya, kerusi-kerusi yang dikhianati seperti Dun Sungai Acheh, Seberang Jaya, Bertam dan Teluk Bahang yang dimenangi oleh PH dalam PRU yang lalu mampu untuk dirampas kembali setelah adanya sokongan rakyat melalui politik khidmat dan santunan Adun angkat serta Penyelaras Kadun di kawasan Dun tersebut.

Menurut Dr Roslan lagi, jajaran baharu tidak relevan dalam konteks kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi amat penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, PH memerlukan rakan kerjasama untuk menerajui kepimpinan Putrajaya dan gabungan baharu akan lebih jelas selepas PRU ke-15 dan AMANAH negeri Pulau Pinang akan akur serta berlapang dada dengan apa jua ketetapan oleh kepimpinan nasional.