Malaysia Dateline

PH runding semula projek runding terus, harga kurang RM800 juta

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan Pakatan Harapan hanya membuat rundingan semula terhadap projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Kelang Fasa 2 yang telah diluluskan secara runding terus semasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rundingan itu membolehkan harga projek telah dikurangkan 15% atau RM800 juta tanpa mengurangkan komponen kritikal dalam projek itu.

Loke membuat penjelasan ini selepas Menteri Kewangan mendedahkan kesemua 101 projek runding terus yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas dicabar oleh bekas Menteri Kabinet PH agar kesemua projek itu didedahkan.

Projek di bawah Kementerian Pengangkutan didakwa sebagai paling tinggi dan diletakkan paling atas dalam senarai projek runding terus yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan itu.

Kejayaan kerajaan mengurangkan kos RM800 juta telah dilaporkan oleh Sinar Harian sebelum ini.

Loke antara yang awal datang membuat penjelasan selepas Menteri Kewangan yang bukan orang politik Tengku Tan Sri Zafrul Abdul Aziz menyahut cabaran itu.

Hari ini, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula akan membuat penjelasan beliau ekoran pendedahan Tengku Zafrul itu.

Menurut Loke, dalam “pendedahan” oleh Menteri Kewangan PN pada semalam, Kementerian Pengangkutan semasa pentadbiran PH dikatakan telah meluluskan 4 projek secara rundingan terus dan nilai projek yang paling tinggi ialah dari Kementerian Pengangkutan.

“Saya cuma nak bentangkan fakta supaya fakta tersebut boleh berbicara sendiri,” kata Loke melalui facebook beliau.

Projek yang dimaksudkan ialah Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Kelang Fasa 2 yang bernilai RM4,475,250,000.

Projek ini, katanya, telah diluluskan oleh Kerajaan BN terdahulu secara rundingan terus dan surat setuju terima telah dikeluarkan pada 4 April 2018 (sehari sebelum pembubaran Parlimen) kepada Syarikat Dhaya Maju LTAT dengan nilai RM5.26 billion!

Selepas PH mengambil alih, katanya, Kabinet telah memutuskan pada 19 September 2018 untuk membatalkan kontrak tersebut.

“Selepas surat pembatalan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, syarikat Dhaya Maju LTAT telah berkali-kali merayu kepada kerajaan termasuk rayuan kepada YAB Perdana Menteri untuk menyambung semula kontrak tersebut,” katanya.

Ekoran itu, beberapa siri rundingan telah diadakan untuk mengurangkan kos projek tersebut.

“Syarikat tersebut akhirnya bersetuju untuk mengurangkan kos projek tersebut sebanyak 15% daripada kos asal.

“Maka, saya mewakili Kementerian Pengangkutan pun membentangkan perkara ini ke Kabinet pada 5 Julai 2019 melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan mencadangkan beberapa opsyen untuk diputuskan oleh Kabinet,” kata Loke lagi.

Jemaah Menteri, katanya, pada 5 Julai 2019 telah memutuskan untuk meneruskan projek ini dengan Syarikat Dhaya Maju LTAT dengan kos yang lebih rendah iaitu RM4.475 billion dengan beberapa pertimbangan seperti berikut;

“Surat Setuju Terima telah dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu. Sekiranya kerajaan tidak meneruskan kontrak ini, kerajaan terdedah kepada risiko tindakan undang-undang sivil oleh pihak syarikat dan kemungkinan perlu membayar pampasan.

“Penjimatan sebanyak 15% adalah hampir RM800 juta tanpa menjejaskan komponen-komponen kritikal dalam projek tersebut,” beritahu Loke lagi.

Syarikat ini pula, katanya, merupakan usahasama antara Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

“Ini bermaksud para pesara tentera ada kepentingan dalam projek ini,” kata beliau.

Syarikat ini juga, katanya, sedang melaksanakan projek naiktaraf landasan berkembar Lembah Klang fasa 1. Mesin dan peralatan telah dilabur untuk menyiapkan keseluruhan projek ini.

“Terpulanglah kepada orang ramai untuk membuat kesimpulan,” kata Loke lagi.