Malaysia Dateline

PH Sabah beri sokongan kepada Shafie sepenuhnya

Pakatan Harapan (PH) Sabah yang bermesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya negeri selesai.

Dalam satu kenyataan PH hari ini, mereka juga mengambil ketetapan untuk menyokong sepenuhnya Shafie bagi menghadapi menghadapi pilihan raya akan datang.

PH Sabah mengadakan mesyuarat di Pejabat DAP Sabah hari ini bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya selepas Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.

Dun Sabah dibubarkan atas cadangan Ketua Menteri, Shafie Apdal selepas bekas Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai bilangan majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Namun Shafie mendakwa, beliau masih mempunyai majoriti untuk kekal sebagai kerajaan.

Bagi menyelesaikan kemelut ini, Shafie memohon Tuan Yang Terutama Yang Dipertuan Negeri Sabah agar Dun Sabah dibubarkan.

Atas persetujuan TYT Sabah,  Dun Sabah dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai masa selama 60 hari untuk menjalankan pilihan raya semula.