Malaysia Dateline

PH Sabah yakin akan menang PRN bersama Warisan

Pakatan Harapan (Sabah) menaruh keyakinan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-15 pada kali ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin parti komponennya untuk berbincang persiapan di Ibu Pejabat DAP Sabah kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.

“Kami telah bersetuju untuk bekerjasama dan yakin akan memenangkan pilihan raya negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri sementara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” kata beliau.

Liew yang juga Ketua PKR Sabah menegaskan sekali lagi bahawa PH tetap memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membentuk dan menerajui pemerintahan seterusnya.

PRN Sabah bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN, 30 Julai lalu bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa.

Sehubungan itu, PRN perlu diadakan sebelum 29 September depan.

Pada PRU-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan tetapi Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.