Majlis Presiden Pakatan Harapan sekali lagi mengulangi pendiriannya agar Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan segera seperti yang ditandatangani dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH.
Menerusi kenyataannya hari ini, PH menyambut baik siri libat urus berhubung RUU Anti Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang diadakan di Parlimen semalam.
“RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan dan kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24
Mac 2022,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat bersama antara PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, AMANAH, Mohamad Sabu, DAP, Lim Guan Eng dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Pada 4 Februari lalu, dilaporkan bahawa draf akhir RUU Anti Lompat Parti dijangka dimuktamadkan menjelang persidangan Parlimen yang akan bermula 28 Februari nanti.
Anggota Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik mewakili Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata ia bakal direalisasikan jika semua perkara dasar dipersetujui dan diputuskan.
“Semua Ahli Parlimen ada menerima jemputan untuk menghadiri sesi taklimat pada 9 Februari. Ada beberapa perkara dasar yang perlu diputuskan. Jika semua pihak bersetuju, kita akan dapat melihat draf mutakhir menjelang sidang Parlimen 28 Februari ini,” katanya,