Malaysia Dateline

PH Sarawak gesa Parlimen dibuka bentang status Sarawak

Pakatan Sarawak (PH) menggesa supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan persidangan Parlimen dengan segera bagi membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan yang bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menegaskan, Perdana Menteri semasa lawatan ke Sarawak dua hari lalu telah mengeluarkan kenyataan akan memberi jaminan bagi memulihkan status ‘wilayah’ kepada negeri ini selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, katanya untuk berbuat demikian perlu ada pindaan bagi Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan perkara itu dicapai menerusi persidangan Parlimen.

“Kami Ahli Parlimen PH Sarawak akan menyokong pindaan Perlembagaan untuk memulihkan versi asal Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, saya sebagai Naib Pengerusi DAP Nasional dan mewakili semua Ahli Parlimen DAP memberi jaminan kepada Muhyiddin bahawa kami semua tetap menyokong agar pindaan rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen, katanya pada sidang media bersama ahli PH Sarawak di Kuching hari ini

Beliau yang juga Chong Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menambah, dengan 112 Ahli Parlimen sedia ada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditambah 42 dari DAP serta PKR, pindaan berkenaan mampu dibentangkan kelak.

“Kini ia bergantung kepada kerajaan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Buka sahaja sidang Parlimen dan bentangkan pindaan berkenaan.

“Jangan hanya berani bercakap sahaja untuk meminda perlembagaan tetapi sekadar demi menarik undi kerana kita bila-bila masa tetap menyokong pindaan itu,” tegas Chong.

Turut bersama dalam sidang media ialah Pengerusi Parti AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili dan wakil daripada PKR, Dr Michael Teo yang juga Ahli Parlimen Miri.