PH Sarawak mahu HDC atasi masalah perparitan

PH Sarawak mahu HDC atasi masalah perparitan

Pakatan Harapan (PH) Sarawak mahu Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) agar mengambil tindakan segera berhubung aduan sistem perparitan oleh penduduk di Taman Sri Cahaya Tondong, Batu Kawa, di sini, susulan dua kes denggi dicatatkan di kawasan itu.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata saliran yang tersumbat di kawasan itu telah menyebabkan dua kes denggi pada tahun ini.

“Selepas kes ini dilaporkan (baru-baru ini) kemudian baru majlis perbandaran membuat fogging. Sebelum ini penduduk di situ banyak membuat aduan berhubung keadaan kawasan perumahan mereka kepada HDC, kebanyakannya tentang masalah sistem perparitan yang tersumbat dan kotor,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan gotong-royong di Taman Sri Cahaya Tondong pada Ahad.

Beliau berkata berikutan masalah perparitan yang tersumbat,  satu kes denggi dilaporkan di kawasan perumahan itu pada Jun dan kes kedua sebulan kemudian.

HDC di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bertanggungjawab membina rumah untuk penduduk tempatan, termasuk program perumahan kos rendah.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata sehingga sekarang, HDC tidak mengambil tindakan untuk membersihkan longkang yang tersumbat dan penduduk di situ terpaksa menganjurkan gotong-royong untuk membersihkan sistem perparitan hari ini.

Penduduk di sini juga sebelum ini tertekan dengan masalah bau busuk disebabkan tangki septik yang pecah selama 12 tahun, dan selepas kerajaan persekutuan bertukar pada 2018 dan kami memberi tekanan, akhirnya HDC mengambil tindakan untuk membaiki tangki septik di tengah-tengah kawasan perumahan ini,” katanya.

Projek perumahan kos rendah di bawah HDC itu mula dihuni pada 2002 yang mempunyai 11 blok flat dan 660 unit rumah- BERNAMA