Malaysia Dateline

PH sedia ambil balik kerusi Bersatu Perlis

Pakatan Harapan (PH) negeri Perlis telah siap siaga untuk mengambil alih semua kerusi Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 kali ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perlis, Amran Kamarudin.

“Kerusi Dun Mata Ayer, Kayang, Pauh, Guar Sanji dan Tambun Tulang, yang telah diberikan kepada Bersatu sebelum ini, PKR siap siaga untuk memastikan ianya menjadi milik PH dalam PRU kali ini.

“Jentera bagi memastikan ketiga-tiga kerusi Parlimen iaitu, Arau, Kangar dan Padang Besar serta 15 kerusi Dun di Perlis menjadi milik PH telah siap untuk menggempur semua kawasan tersebut melalui strategi dan pelan susun atur yang telah direncanakan.

“Yang pasti siapa sahaja yang bertanding atas tiket PH, maka PKR akan memberi sepenuh sokongan bagi memastikan Perlis menjadi milik PH dalam PRU ke-15 kali ini,” tegas beliau.

Amran berkata demikian ketika ditemui semasa melawat penduduk yang uzur dan memerlukan dalam Parlimen Padang Besar semalam.

Menurut Amran, PKR akan bekerjasama penuh dengan AMANAH dan Dap serta mana-mana parti yang sedia menerima polisi yang telah ditetapkan oleh PH bagi merampas kembali kerusi yang pernah ditandingi oleh Bersatu maupun BN dan PN sebelum ini.

Tegas Amran, bagi kerusi Parlimen Arau dan Padang Besar, jentera dan persiapan bagi kedua-dua kerusi yang telah diberikan kepada Bersatu sebelum ini mesti dirampas kembali, manakala kerusi Parlimen Kangar yang dimenangi oleh PKR dalam PRU yang lalu harus dipertahankan.