Malaysia Dateline

PH sedia bekerjasama dengan semua rakan pembangkang, elak pertindihan kerusi

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan semua rakan strategik yang berada di blok pembangkang untuk berhadapan dengan pasukan lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Menerusi catatan ringkas di Facebook, Mat Sabu berkata, ikrar kerjasama itu dinyatakan untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi dalam PRN tersebut.

“Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan rakan-rakan strategik agar tiada pertindihan kerusi dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

“Kita menjemput semua pihak, segenap lapisan rakyat memberikan sokongan kepada kita, untuk membantu kita memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri baru, InsyaAllah,” katanya dalam hantaran Facebook lewat malam semalam.

Sementara itu menerusi poster yang dikongsikan Ahli Parlimen Kota Raja itu, AMANAH akan melancarkan satu kutipan dana malam ini sempena menghadapi PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia pada semalam menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor.

26 Februari pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon, manakala 8 Mac adalah hari pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis.

PRN Johor merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas yang dianggarkan bakal melibatkan kira-kira 750,000 anak muda.