Malaysia Dateline

PH sedia kerjasama bentuk kerajaan yang stabil selepas PRU 15, kata Loke

DAP sedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Umno, jika Pakatan Harapan gagal membentuk kerajaan yang stabil selepas pilihan raya umum nanti.

Ini kerana, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, kerajaan yang stabil adalah keperluan utama di negara ini bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat boleh diberikan keutamaan.

Loke berkata demikian dalam temubual ‘Morning Grill’ dengan radio BFM pagi ini.

Menurut tokoh yang disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan Setiausaha Agung DAP dari Lim Guan Eng itu, PH berharap akan menang lebih dari separuh kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dengan pertembungan tiga kem iaitu PH, BN dan PN, kita berharap dapat menang lebih dari separuh kerusi untuk membentuk kerajaan, tetapi jika kita tidak berjaya, kerjasama perlu dibuat untuk membentuk kerajaan yang stabil,” kata beliau.

Bagi PH, kata bekas Menteri Pengangkutan itu, gabungan parti itu mempunyai tawaran yang paling baik sekarang ini berbanding dengan dua lagi gabungan.

“Tawaran kami jelas, calon PM kami juga jelas iaitu Datuk Seri Anwar,” kata beliau dalam rancangan ‘Morning Grill’ dengan beliau itu.

Beliau juga menegaskan, bagi PH, pihak yang tidak boleh diberikan kerjasama adalah pengkhianat.

“Ini adalah ‘red line’ yang kita ada sekarang dan kita tidak boleh melanggarnya iaitu tidak bekerjasama dengan pengkhianat.

“Pihak lain, kita sedia mempertimbangkannya,” kata beliau yang yakin PH akan boleh memerintah semula kerajaan selepas pilihan raya umum ke 15 nanti.

SETIAUSAHA AGUNG DAP

Dalam temubual itu juga, Loke mengaku DAP akan memilih Setiausaha Agung baru bagi menggantikan Lim Guan Eng yang akan tamat tempohnya tahun ini.

“Saya sedia menerima cabaran ini jika saya dicalonkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) untuk jawatan ini. Saya yakin bukan saya seorang yang layak, ramai lagi tokoh-tokoh muda DAP yang layak,” kata beliau.

Setiausaha Agung DAP akan dilantik di kalangan CEC yang menang dalam pemilihan DAP tahun ini.

Pihak yang menang pula akan memilih pelbagai jawatan di kalangan mereka termasuk Setiausaha Agung, jawatan eksekutif yang paling tinggi dalam DAP.