Malaysia Dateline

PH sejam jumpa Ismail Sabri bincang isu RUU Akta Lompat Parti

Pakatan Harapan (PH) mengambil masa kira-kira sejam berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini.

Pertemuan diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antaranya membincangkan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.

“Kami bangkitkan soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dalam sesi Parlimen akan datang.

“Turut dibincang perihal rasuah yang semakin menggila serta langkah pasca banjir yang dihadapi sebelum ini,” kata Ketua Pembangkang berkenaan di Facebook hari ini.

Turut bersama Anwar adalah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.