Malaysia Dateline

PH Selangor sepakat hadapi ‘agenda jahat’ musuh

PH Selangor hari ini tampil sepakat untuk menafikan wujud gerakan menggantikan Speaker Dun, Ng Sue Lim, dan menganggap khabar berkaitan isu itu didorong oleh agenda jahat musuh politik.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, PH Selangor menjelaskan usaha memainkan isu speaker DUN, keretakan hubungan antara parti komponen kerajaan dan gugatan terhadap Amirudin Shari sebagai menteri besar bertujuan memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian.

“Oleh itu, PH Selangor menzahirkan sokongan padu dan sepenuh keyakinan terhadap Amirudin sebagai menteri besar Selangor serta pengerusi PH negeri.

“Sokongan dan keyakinan ini juga ditujukan kepada pentadbiran diterajui beliau yang berkeupayaan memimpin Selangor ke aras kemajuan lebih tinggi sekali gus menjamin kemaslahatan rakyat negeri ini,” kata kenyataan tersebut dipetik hari ini.

Ia dipersetujui pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari; pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim; dan pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

Menurut kenyataan itu PH Selangor bersepakat meneruskan gerak kerja melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat dan negeri walaupun ada usaha pihak tertentu menggugatnya.

Kata mereka amat mustahak semua kesentosaan, ketenteraman serta kestabilan negeri ini dipelihara demi meneruskan pembangunan negeri dan juga kemaslahatan rakyat.

“PH Selangor mengulangi tekad untuk memastikan negeri ini terus maju sebagai sebuah negeri pintar terulung menjelang 2025, selain mengutamakan agenda memberdayakan rakyat agar mampu mendepani segala cabaran yang mendatang, terutamanya berkaitan pembangunan sosio-ekonomi negeri ini,” katanya.