Malaysia Dateline

PH selesai bincang dengan PM, perhalusi pindaan RUU Anti Lompat Parti

Pakatan Harapan hari ini selesai mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen pagi tadi.

Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua gabungan sependapat bahawa pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan, perlu diperhalusi supaya ianya dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

Selain itu, PH dan perdana menteri juga bersetuju untuk meneliti perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat, akan hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun.

Perkara tersebut diberitahu akan diusahakan penyelesaiannya supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti.

“Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini juga akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan melibatkan semua parti.

“Parti-parti ini akan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan,” kata PH dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; DAP Anthony Loke; AMANAH Mohamad Sabu; dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Justeru kata PH, pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022.

Majlis Presiden turut mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

Baca juga: Elaun ‘parking’ menteri lebih tinggi dari gaji doktor sebulan, ini luahan hati doktor kontrak

Baca juga: Anak hanya puasa separuh hari, Mufti beri penjelasan hukum puasa bagi kanak-kanak