PH semarak ekonomi warisan tempatan jika perintah Terengganu

Tidak mahu bergantung kepada pendapatan hasil minyak yang dijangka akan berkurangan dalam dekad mendatang, Pakatan Harapan (PH) akan menyemarakkan ekonomi warisan tempatan dan sektor pelancongan yang lebih berpotensi besar jika diberi mandat memerintah Terengganu.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, PH akan berusaha merakyatkan kembali ekonomi Terengganu dengan membantu usahawan tempatan dan industri tempatan yang sudah wujud sejak sekian lama namun dipinggirkan oleh pentadbiran BN yang lebih bergantung kepada wang ehsan hasil minyak.

“Kita bukan nak beri harapan palsu kepada rakyat dengan industri minyak dan gas seperti dijanjikan kerajaan BN hari ini. Di mana pengusaha atau ahli korporat Terengganu dalam bidang minyak dan gas? Tiada,” katanya dalam sesi wawancara dengan mingguan Amanah.

Raja Bahrin yang juga Pengerusi AMANAH negeri menaruh keyakinan bahawa produk-produk tradisi dan pelancongan tempatan mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

“Jika Indonesia ada Bali, saya rasa ‘Bali Malaysia’ adalah Terengganu kerana kepelbagaian industri kotej dan tradisinya amat kaya,” ujarnya.

Beliau memetik kata-kata salah seorang pengasas Muzium Negara, Allahyarham Tan Sri Mubin Shepperd bahawa Terengganu adalah tempat tamadun, budaya dan warisan Malaysia dilahirkan (Terengganu is the cradle of Malay civilization).

Selain pembuatan barangan tembaga, ujar beliau songket dan batik Terengganu lebih pelbagai dan mampu menarik pelanggan.

Sehubungan itu, beliau yakin pembuatan barangan tradisi tempatan boleh dibangunkan sebagai punca ekonomi negeri daripada ‘harapan kosong’ yang disandarkan kepada industri minyak dan gas.

“Sebelum terlambat kita perlu mencari pengusaha-pengusaha lama ini yang semakin pupus. Jika kita tidak lakukan sesuatu, kita akan kehilangan segala-galanya. Hanya ilusi… negeri ini dipanggil ‘Kuwait Malaysia’. Atas kertas kita kaya tetapi rakyat terus menderita,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Terengganu masih lagi terkelompok dalam empat negeri termiskin selain Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Kelantan walaupun miskin kita boleh fahami sebab royalti minyak tak pernah ia dapat. Tapi Terengganu dapat royalti minyak dan walaupun royalti minyak dihentikan, kita masih dapat ‘wang ehsan’… hampir sama tapi bentuknya berbeza. Jadi mana perginya (hasil minyak itu). Terengganu masih dikategorikan sebagai negeri miskin?” soal beliau.

Raja Bahrin turut menyentuh bajet Terengganu yang dianggap antara yang tertinggi di Malaysia.

“Selangor bajetnya antara RM1.6 bilion hingga RM1.8 bilion untuk rakyat lebih kurang 5 juta orang. Terengganu rakyatnya 1 juta tapi bajetnya RM2.2 bilion. Ke mana pergi hasil Terengganu? Rakyat masih macam ini.

“Kita tidak ketandusan aset tapi pengurusan amat lemah. Ketirisan, kebocoran (dalam perbelanjaan). Kalau kita sebut rasuah nanti orang marah, tapi inilah hakikat sebenarnya,” ujar beliau.

Wawancara penuh beliau boleh diikuti di mingguan Amanah bil. 75.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote