Malaysia Dateline

PH, semua pembangkang sepakat tolak tawaran Mahiaddin, mahu PM letak jawatan

Pakatan Harapan dan hampir semua parti pembangkang termasuk Warisan, UPKO, Muda dan PSB sepakat menolak keras segala tawaran Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang dibuat petang tadi, kata pemimpin utama mereka.

Sehingga berita ini ditulis, hanya Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad belum membuat kenyataan lagi.

“Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH)  dan Lim Guan Eng  (DAP).

Menurut mereka, Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19.

“Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” kata kenyataan mereka bertiga.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, kata mereka, berpandangan bahawa perutusan khas Tan Sri Mahiaddin Md Yassin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan, kata mereka bertiga.

Bagi mereka, ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang.

“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Lebih dari itu, katanya, apabila Tan Sri Mahiaddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Warisan, Muda, Upko dan PSB dalam kenyataan mereka juga menolak sekeras-kerasnya tawaran politik yang dibuat Mahiaddin.

Mereka mendesak Mahiaddin meletakkan jawatan secara terhormat dan benarkan proses demokrasi berjalan semula.