Malaysia Dateline

PH seru kerajaan luaskan pengecualian cukai pada bekalan perubatan kritikal

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyeru kerajaan untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan untuk bekalan perubatan kritikal yang diperlukan para petugas kesihatan barisan hadapan.

Dalam satu kenyataan bersama, PH berkata, pengumuman pengecualian duti import dan cukai itu perlu diperluaskan lagi dengan tidak hanya memfokuskan kepada produk topeng muka.

“Kami menyeru supaya bukan sahaja produk topeng muka yang diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan tetapi bekalan perubatan kritikal yang lain yang digunakan oleh pejawat dan pekerja kesihatan.

“Antaranya peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan dan alat bantuan pernafasan (ventilator) yang perlu diberikan pengecualian yang sama.

“Ini akan sedikit sebanyak menggalakkan pembekalan alat bekalan perubatan kritikal melalui pembuatan tempatan dan juga melalui bekalan import,” katanya.

Kenyataan bersama itu antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad; dan DAP, Dr Ong Kian Ming.

Terdahulu, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Menteri Kewangan memutuskan mengecualikan pembayaran duti import dan cukai jualan untuk produk topeng muka bermula pada 23 Mac 2020.

Pada masa sama, PH turut menyeru agar pihak Kastam mempercepatkan proses pengimportan alat perubatan kritikal supaya mana-mana sekatan ataupun “bottleneck” tidak akan berlaku.

“Pakatan Harapan mengulangi gesaan kami agar Kerajaan menerbitkan dari semasa ke semasa jumlah bekalan yang ada dalam negara bagi beberapa peralatan kritikal termasuk topeng muka, sanitizer, kit ujian COVID-19, PPE, dan ventilator,” tegasnya.