PH siap sedia hadapi serangan berkaitan isu Melayu, Islam

PH siap sedia hadapi serangan berkaitan isu Melayu, Islam

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) sudah goyah ekoran kerjasama Umno dan Pas.

Menurutnya, gabungan kedua-dua parti pembangkang itu jika benar-benar berlaku hanya akan bermodalkan sentimen politik kaum dan agama.

“Inilah isu yang terpaksa kita hadapi kerana apabila Umno dan Pas bergabung mereka tiada modal.

“Itu (isu kaum dan agama) saja modal mereka kerana tidak tahu bagaimana untuk tangani masalah rasuah, penyelewengan dan masalah salah guna kuasa,” ujarnya.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam slot Bicara Khalid Samad menerusi FB Live Jom Channel semalam.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan gabungan Umno dan Pas hanya memainkan emosi semata-mata.

“Bagi mereka hanya isu Melayu dan Islam tetapi apa sebenarnya yang dimaksudkan kita pun tidak faham. Main emosi sajalah.

“Kita bersiap sedia untuk menghadapi serangan-serangan yang sebegitu rupa,” tegas bekas pemimpin Pas itu lagi.