Malaysia Dateline

PH sokong bubar Dun Sabah, kecam sogokan hingga RM32 juta

Pakatan Harapan mengumumkan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Dalam kenyataan bersama tiga pemimpinnya, PH yakin hanya rakyat mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Musa Aman dengan sokongan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Musa Aman, PM, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional serta tawaran sehingga RM32 juta seorang termasuk dengan tawaran jawatan timbalan ketua menteri,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Haji Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Tambahan pula, katanya, tindakan rampasan kuasa ini dibuat ketika negara dalam usaha membendung wabak Covid-19.

“Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa,” kata kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, mereka menyeru rakyat Sabah menyokong Datuk Seri Shafie dan parti-parti yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya negeri akan datang, “untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti.”