PH tahu tidak akan menang, dakwa BN menipu, kata Salleh

PH tahu tidak akan menang, dakwa BN menipu, kata Salleh

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pembangkang pernah mendakwa Barisan Nasional (BN) menipu untuk memenangi pilihan raya umum pada 2013 kerana menyedari Pakatan Rakyat ketika itu tidak akan dapat menumbangkan BN.

Menerusi catatan blognya semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menyifatkan dakwaan itu sebagai “serangan awal” pembangkang apabila Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan perkara sama akan berlaku pada PRU14.

“Mereka tahu mereka tidak akan menang pada PRU13, jadi sebelum PRU, mereka ‘meramalkan’ mereka akan kalah disebabkan penipuan.

“Selepas PRU, mereka membuat pelbagai dakwaan penipuan untuk menjelaskan mengapa mereka kalah.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, menerusi blongya yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menipu pada PRU14.

Bendahari Agung Umno itu berkata, sebelum PRU 2013, pemimpin Pakatan Rakyat menjelajah ke seluruh negara mengatakan BN akan menipu untuk memenangi PRU.

“Selepas PRU, mereka kata bekalan elektrik terputus di tempat tertentu ketika pengiraan undi, kotak undi tambahan dibawa ke tempat tertentu, puluhan ribu pengundi hantu diterbangkan dari Bangladesh, dan banyak lagi.

“Semua ini kemudian terbukti palsu.

“Malah, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menafikan puluhan ribu rakyatnya diterbangkan untuk mengundi di Malaysia. Ini memerlukan lebih 100 pesawat sewa untuk tujuan itu.

“Dan tempat di mana mereka dakwa terputusnya bekalan elektrik disahkan tidak pernah menghadapi sebarang gangguan bekalan elektrik.

“Malah, petugas pembangkang di tempat yang mereka dakwa kotak undi tambahan dibawa masuk, menafikan kejadian tersebut.” ujarnya,