PH Taiping lapor polis BN salah guna premis awam untuk kempen pilihan raya

PH Taiping lapor polis BN salah guna premis awam untuk kempen pilihan raya

Tindakan keterlaluan BN memperalatkan premis awam untuk kempen pilihan raya mendorong Pakatan Harapan (PH) kawasan Taiping membuat laporan polis.

Setakat ini lima dewan orang ramai sekitar Kamunting telah disalah guna BN sebagai pusat kempen pilihan raya dengan bendera lambang BN di pasang di bangunan-bangunan terbabit.

Menurut Ketua AMANAH kawasan Taiping Mohd Saad Ismail, sejak seminggu lalu bendera lambang BN telah dipasang di lima dewan orang ramai tersebut.

Antara dewan milik kerajaan negeri yang telah disalahguna BN, ujar beliau ialah dewan orang ramai kampung Expo, kampung Pinang, jalan Stesen Kamunting dan Expo Tambahan.

Mohd Saad (kiri) bersama pemimpin Pakatan Harapan Taiping selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kamunting, semalam.

“Apa yang dilakukan oleh BN adalah bertentangan dengan Garis Panduan Kemudahan Perancangan Masyarakat (GP-17) Negeri Perak yang telah diluluskan pada 25 September 2002.

“Ia juga merupakan satu kesalahan apabila dewan tersebut yang seharusnya digunakan untuk kemudahan orang ramai, tetapi kini telah pun menjadi lokasi untuk mempromosi BN.

“Sejajar dengan itu kita memohon supaya tindakan diambil dengan segera berdasarkan kepada garis panduan GP-17 supaya ianya tidak berulang lagi menjelang pilihan raya umum,” ujarnya.

PH Taiping, ujar Mohd Saad telah membuat laporan polis di Balai Polis Kamunting berhubung penyalahgunaan dewan orang ramai itu.

Seandainya tiada tindakan diambil bagi menurunkan bendera BN dalam tempoh seminggu, beliau berkata bendera parti-parti komponen PH akan turut dinaikkan bagi mempamerkan keseimbangan.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS