PH telah buat kesilapan besar ketika berkempen, kata Najib

PH telah buat kesilapan besar ketika berkempen, kata Najib

Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata kekalahan calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih kerana kesilapan besar yang dilakukan berterusan menyerangnya dalam tempoh berkempen.

“Mereka telah buat kesilapan besar kerana dalam kempen mereka terus menyerang saya. Sepatutnya mereka beri tumpuan kepada agenda untuk rakyat.

“Terutama sekali bagaimana mereka mahu menunaikan janji pilihan raya. Sebab itulah sebahagian rakyat di Semenyih menolak mereka kerana Pakatan Harapan telah memungkiri janji pilihan raya,” ujarnya ketika ditemui di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian semalam.

Bekas perdana menteri itu berkata, kejayaan BN mengurangkan majoriti diperoleh PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, di Dun Semenyih menunjukkan sebahagian rakyat sudah kembali menyokong Umno-BN.

“Umno-BN tidak akan mati. Umno akan hidup segar kerana menang di Cameron Highlands dan dengan menang majoriti 1,914 di Semenyih.

“Kita anggap kekalahan dalam PRU14 lalu sebagai kakalahan sementara dan Umno-BN akan teruskan perjuangan kita sebagai pembangkang,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pekan ini juga berkata, sekiranya BN dapat mengekalkan momentum ini, beliau tidak menafikan BN akan mengulangi kemenangan dalam PRK Dun Rantau kelak.

“Di rantau kita akan teruskan memontum ini. Tentu sekali setiap kawasan ada keunikannya dan kita akan mengolah strategi dan pendekatan yang sesuai dengan keadaan setempat.

“Di Semenyih satu kemenangan yang sangat bermakna kepada BN.Saya bersyukur atas kemenangan ini.

“Saya anggap kemenangan BN ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam perjalanan yang jauh ke hadapan.

“Kita mesti buktikan kemenangan ini dan bawa diri kita dengan sentiasa rasa rendah diri bahawa BN sebagai pembangkang akan terus berkhidmat kepada rakyat sebaik-baiknya,” ujarnya.

PRK Semenyih menyaksikan calon BN Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi sekaligus mengenepikan tiga lagi calon lain yang bertanding iaitu Muhammad Aiman Zainali (PH) 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 725 undi.