Malaysia Dateline

PH Temerloh mulakan gerak kerja hadapi PRU14

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Pahang selesai diadakan minggu lalu, dan kini anggota PH Temerloh mempertingkatkan kerjasama dalam kalangan semua parti PH bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

Antara kerusi tumpuan yang memerlukan kerjasama erat semua parti PH ialah kerusi Parlimen Temerloh.

Kerusi Parlimen Temerloh akan ditandingi oleh AMANAH pada PRU14, dan ia adalah satu-satunya kerusi Parlimen di negeri itu yang akan ditandingi oleh AMANAH daripada 14 kerusi Parlimen yang ada.

Timbalan Ketua AMANAH Temerloh, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, banyak perkara telah diselesaikan oleh PH Pahang sehingga kepada konvensyen tersebut, termasuk agihan kerusi Dun, walaupun belum muktamad, dalam kalangan parti anggota PH di negeri itu.

Kini tambah beliau, tiba waktu untuk memberi tumpuan kepada gerak kerja menghadapi PRU14.

Kata Adun Kuala Semantan itu, memandangkan AMANAH hanya bertanding di Parlimen Temerloh, jentera pilihan raya AMANAH dari seluruh Pahang akan digerakkan turun membantu AMANAH Temerloh.

“Selain itu, PKR dan DAP akan bekerjasama erat dengan AMANAH dalam usaha menawan kerusi Parlimen Temerloh ini.

Kata beliau, untuk masa terdekat ini, PH akan mendekati pengundi-pengundi Cina dalam kawasan parlimen tersebut bersempena Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi.

“AMANAH akan membuat agihan buah limau mandarin di sekitar kawasan bandar Temerloh, DAP di kawasan Mentakab dan PKR di kawasan Lancang.

PH juga kata beliau, akan mengadakan jamuan makan peringkat kawasan parlimen bagi meraikan masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina ini, dan untuk tahun ini ia bakal diadakan di kawasan Dun Lancang dan akan dikendalikan oleh PKR.

“Tetapi perkara ini masih belum diputuskan dan kami akan mengadakan mesyuarat mengenainya.

“Bagaimanapun, jamuan tersebut dirancang akan diadakan selepas Chap Goh Meh,” kata beliau.

Namun begitu, menurut Syed Hamid, seperti kebiasaan pihaknya (AMANAH) akan tetap mengadakan jamuan makan meraikan masyarakat Cina di Temerloh, seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Ia akan dibuat di Kampung Baru Cina di pinggir bandar Temerloh ini, iaitu kawasan penempatan masyarakat Cina,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga telah menghubungi tokoh-tokoh tertentu untuk mengadakan ceramah umum di Temerloh.