Malaysia Dateline

PH, Tengku Zafrul bertemu sebelum Belanjawan 2022 digulung esok

Pakatan Harapan hari ini selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah bagi membincangkan pasca Belanjawan 2022.

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng memaklumkan, rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan isu tertunggak antara PH dan kerajaan Persekutuan yang akan diputuskan apabila Tengku Zafrul menggulung perbahasan belanjawan di Parlimen esok.

“PH menekankan keperluan untuk meningkatkan peruntukan belanjawan untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia yang menghadapi pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Belanjawan seharusnya mewakili dan menjaga semua rakyat Malaysia berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Lim berkata, walaupun PH menghargai keperluan untuk mengawal defisit belanjawan, terdapat keperluan untuk berbelanja dengan berani untuk mengatasi pandemik Covid-19 serta membantu rakyat dan perniagaan

Terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), supaya dapat terus hidup, kata Lim.

“Peruntukan Belanjawan tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion secara berhemat tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” ujarnya lagi.