Malaysia Dateline

PH Terengganu desak jawab isu data kluster Primula mengelirukan

Pakatan Harapan (PH) Terengganu mendesak pihak berkuasa menjawab isu berhubung data kes Covid-19 membabitkan Primula Hotel Beach Resort yang mengelirukan.

Pengerusinya, Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat amat ketara portal Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan status pekerja Hotel Primula yang dijangkiti Covid-19 sangat mengelirukan dan kelihatan tidak memberi maklumat yang tepat.

“Selama 15 hari dari tarikh Primula diarah tutup pada 5 September sehingga sekarang, data berhubung jumlah positif langsung tidak berubah iaitu jumlah kes positif 35 orang, kes negatif 66 dan sampel ‘pending’ 32 kes.

“Bagaimanakah kes sampel belum dapat keputusan atau masih ‘pending’┬áboleh kekal sama di tahap 32 orang selama 15 hari tidak masuk akal kerana keputusan saringan ujian hanya memerlukan masa yang pendek kurang dari satu jam, dimana kumpulan ini akan berpindah ke kumpulan positif atau negatif?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH negeri itu mendedahkan data bagi Hotel Primula tidak berubah berbeza dengan semua kluster lain yang berubah mengikut keputusan saringan hari demi hari.

“Ada sesuatu yang tidak kena di sini atau adakah sesuatu yang ingin disembunyikan ?

“Di zaman serba canggih ini tidak mugkin keputusan saringan belum diketahui dan mengapa tidak dikemaskini selepas 15 hari?” soal bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.