PH Terengganu harap kerajaan nilai semula kaedah penyaluran wang tunai petroleum

PH Terengganu harap kerajaan nilai semula kaedah penyaluran wang tunai petroleum

Pakatan Harapan (PH) Terengganu berharap kerajaan persekutuan membuat penilaian semula mengenai kaedah penyaluran Wang Tunai Petroleum (WTP) bagi memastikan semua golongan rakyat negeri itu dapat menikmati manfaatnya.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ini kerana penyaluran secara terus WTP ke dalam akaun kerajaan negeri pimpinan Pas didakwa telah disalah guna di mana hanya rakyat tertentu dan terpilih sahaja yang menerima manfaatnya.

“Memang dah lama kita dengar rungutan dari penduduk Terengganu khususnya penyokong PH bahawa mereka dipinggirkan sedangkan wang royalti ini disalurkan oleh kerajaan persekutuan secara terus kepada negeri dengan harapan ia bermanfaat kepada semua rakyat, bukannya secara terpilih.

“Jadi kita rasa ini tidak ditepati oleh kerajaan Pas yang menguasai Terengganu… banyak salah guna dana persekutuan yang sepatutnya untuk rakyat jelata hanya diberi kepada rakyat dari parti tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Tahunan AMANAH Terengganu Kali Keempat yang disempurnakan Presidennya, Mohamad Sabu hari ini.

Raja Bahrin berkata banyak kaedah lain boleh digunakan untuk menyalurkan WTP itu antaranya melalui agensi dan jabatan kerajaan persekutuan seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Untuk rekod, pada 16 Okt lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan kerajaan negeri menerima WTP berjumlah RM1.277 bilion bagi tempoh Januari hingga September lepas.

Sementara itu, ditanya apakah antara rungutan yang sering diterima PH Terengganu, Raja Bahrin berkata contohnya pengagihan projek kepada kontraktor yang tidak bersandarkan kepada konsep tender terbuka yang sebenarnya.

“Apabila terdapat peruntukan untuk projek di daerah melalui kementerian tertentu, sepatutnya dibuka kepada semua pihak dan bukan hanya diagihkan kepada kontraktor dari parti tertentu.

“Apabila penilaian dibuat secara tender terbuka, ia dibuat hanya sekadar memenuhi syarat… tidak mengikut tender terbuka dalam erti kata sebenarnya… hanya orang tertentu dapat mengambil bahagian.. ini tidak adil dan ini telah berterusan selama setahun,” katanya.

— BERNAMA