Malaysia Dateline

PH tergesa-gesa mansuh hukuman mati tanpa tubuh Jawatankuasa Pilihan Parlimen

Rang Undang-Undang pemansuhan hukuman mati bagi 32 kesalahan yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen 3 Mac ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk melaksanakan pemansuhan hukuman mati.

Keputusan kerajaan itu didakwa dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira suara kebanyakan rakyat yang membantah.

Presiden MCA berkata, beliau tidak faham mengapa kerajaan enggan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi mendengar pandangan pelbagai pihak berhubung polisi yang mustahak ini.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dianggotai oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang biasanya ditubuhkan bagi meneliti isu-isu penting secara mendalam.

Menurutnya, beliau sendiri telah mencadangkan supaya memansuhkan hukuman mati mandatori tetapi dalam masa sama masih mengekalkan hukuman mati.

“Biarlah hakim mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menjatuh hukum berdasarkan merit kes.

“Saya juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Parlimen ditubuhkan bagi meneliti perkara ini secara mendalam. Namun yang demikian, Liew berkeras mengatakan bahawa Kabinet kekal dengan pendirian mereka memansuhkan hukuman mati ini,” katanya dalam satu kenyataan dipetik MG hari ini.

Malah, Ka Siong juga tertanya-tanya mengapa DAP terus membisu tentang isu berkenaan walaupun Lim Kit Siang mendakwa keputusan itu belum dicapai secara total.

“Sehingga kini, Lim kata Pakatan Harapan masih belum mencapai kata sepakat berhubung pemansuhan hukuman mati.

“Atau sebenarnya Lim tidak layak untuk bercakap mewakili Pakatan Harapan? Begitu juga dengan kenyataan beliau sebelum ini yang memberikan banyak janji? Adakah ia juga sekadar kata-kata kosong?,” soalnya.