PH terima memorandum peniaga Tasik Raja Pasir Mas mahukan isu tol diselesaikan

Oleh ZIKRI ABDULLAH

 

Dr Shajihan (tengah) menerima memorandum daripada peniaga pasar yang mengadakan perhimpunan aman hari ini.

Kira-kira tiga ratus peniaga pasar baru Tasik Raja Pasir Mas yang mengadakan perhimpunan aman menuntut palang tol di pintu masuk pasar berkenaan dihapuskan mahu kerajaan pusat turut campurtangan menyelesaikan masalah mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga di situ, Mohd Sakhi Abdul Kadir berkata, kewujudan palang tol untuk masuk ke kawasan pasar berkenaan memang memberi kesan kepada para pengunjung.

“Pasar ini mempunyai 1,300 lot dan sekarang tidak sampai 30 peratus beroperasi.

“Dengan jumlah tidak sampai 400 peniaga itu pun jualan kami amat meleset dan seperti hidup segan mati tak mahu.

“Di tambah dengan halangan tol seperti ini tentulah bilangan pembeli yang masuk semakin hari semakin merosot,” katanya kepada media di tempat perhimpunan bantahan aman itu diadakan hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilakukan bagi meminta pihak Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) menghentikan palang operasi itu tetapi gagal.

“Pihak persatuan telah cuba berunding dan merayu pihak MDPM tetapi tiada respon positif.

“Para peniaga di pasar ini bukannya untung besar dan kami sekadar mencari rezeki untuk menampung kelangsungan hidup harian keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Rantau Panjang, Dr. Shanjihan Din menerima memorandum dari peniaga yang mahu disampaikan kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Pihak kami turut bersimpati dengan masalah yang dihadapi peniaga dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya akan cuba menyampaikan memorandum ini seberapa segera kepada pihak menteri.

“Esok kebetulan saya ada urusan di Kuala Lumpur dan akan cuba mencari peluang berjumpa kerana perkara ini perlu disegerakan,” katanya.

Menurut peniaga palang tol yang mula beroperasi 22 Jun jelas menyebabkan orang ramai yang berkunjung ke pasar berkenaan berkurangan.