Malaysia Dateline

PH tidak akan berpecah, ini sebabnya…

1. Semalam keputusan kajian secara rawak yang dikelolakan oleh akhbar Sinar Harian telah diumumkan kepada umum.

2. Daripada keputusan tersebut dapat dilihat parti-parti utama seperti PKR, Umno dan Pas kekal menguasai mata masyarakat.

3. Parti-parti baru seperti AMANAH, PBBM, Warisan, Muda dan Pejuang juga mendapat tempat yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

4. Lebih mengejutkan apabila AMANAH yang lebih muda berbanding Pas mencapai jumlah sokongan yang sama antara satu dengan lain.

5. Hal ini dilihat bahawa, AMANAH mampu menjadi parti masa depan dengan beberapa anjakan lebih kedepan termasuk penjenamaan AMANAH seperti dalam tulisan saya sebelum ini.

6. Apa yang ingin saya ulas adalah, penilaian sokongan parti-parti politik ini dalam kalangan masyarakat adalah mengikut parti secara berasingan, namun, apakah hasilnya jika parti-parti ini dinilai melalui gabungan mereka sendiri?

7. Andai saya mencampurkan keputusan kajian tersebut berdasarkan parti mengikut pecahan BN, PN dan PH. Hasilnya ialah BN yang terdiri daripada Umno, MIC dan MCA mendapat jumlah sokongan sebanyak 14.34%.

8. Manakala PN yang terdiri daripada PBBM, Pas dan Gerakan mendapat jumlah sokongan sebanyak 14.05%.

9. Bagi gabungan parti yang berjaya memenangi PRU14 beberapa tahun yang lalu, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH mendapat jumlah sokongan sebanyak 34.05%.

10. Berdasarkan campuran undian ini, dapat dilihat bahawa PH menjadi sandaran rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

11. Jika dipecahkan mengikut parti masing-masing, memang benar PKR adalah parti paling tinggi sokongannya, namun tiada parti yang mampu memperoleh peratusan sehingga 50% sebagai tanda parti itu mampu membentuk kerajaan dengan jumlah sokongan kepada satu parti sahaja.

12. Ini hakikat yang semua pemain politik dan pemerhati politik akui bahawa tiada parti yang mampu mendominasi sokongan masyarakat melainkan parti-parti perlu bergabung.

13. Saya berpandangan gabungan parti komponen PH harus mengekalkan kesatuannya sebagai sebuah pakatan kerana dari jumlah sokongan yang dinilai, PH kekal sebagai gabungan paling mendapat sokongan masyarakat.

14. Maka tiada sebab untuk komponen PH bercerai-berai.

15. Kesatuan PH ini sering kali ditegaskan dalam setiap kenyataan media dan mesyuarat pimpinan PH, namun gambaran bahawa parti komponen PH membawa haluan masing-masing sering dimainkan oleh pihak musuh. Apa sebabnya?

16. Saya melihat ruang itu terbuka akibat kesemua komponen bergerak mengikut parti masing-masing dan tidak mendahulukan jenama PH sebagai imej mereka.

17. Program kebajikan dilakukan mengikut parti-parti yang menang dikawasan tersebut, parti komponen PH yang tidak bertanding di situ tidak akan berperanan bersama. Ini satu gambaran koordinasi parti komponen PH diperingkat akar umbi belum diselaraskan seperti BN.

18. Nama program menggunakan nama parti sahaja dan logo PH hanya dijadikan cukup syarat sahaja berada dalam kain rentang. Ia sudah menujukkan bahawa jenama PH tidak mampu diangkat dikalangan masyarakat.

19. Maka langkah-langkah ini juga perlu dilakukan segera oleh PH bagi memastikan bukan agihan kerusi sahaja yang mampu diselesaikan tetapi kesinambungan peranan setiap parti komponen PH dapat diseleraskan.

20. Selain, setiap parti komponen PH menjalankan tugas masing-masing, jenama PH harus dipasar luaskan dan logo PH perlu menjadi keutamaan dalam setiap gerak kerja.

21. Untuk menambah sokongan, PH juga boleh mengadakan kerjasamanya bersama Warisan, Muda dan PejuangĀ  yang menjumlahkan sokongan sebanyak 12.79%.

22. Hasilnya jika semua parti ini bergabung, jumlah sokongan menjadi 46.84%. Ia lebih mengukuhkan, berbanding Warisan, Pejuang dan Muda menyokong PN atau BN, ia akan memberi kekuatan sama pada PH, BN dan PN.

23. Saya tidak mengaitkan PH dan komponen lain termasuk Umno kerana hanya Warisan, Muda dan Pejuang yang tidak mempunyai blok.

24. Maka saya menggambarkan 3 parti itu sahaja yang boleh bekerjasama dengan PN, BN mahupun PH.

25. Jika ada kedengaran usaha kerjasama antara komponen PH dan Umno, hanya satu saya nyatakan, jika bersama Umno menyebabkan PH berpecah, ia tidak wajar dilakukan.

26. Namun, harus diingati, sebelum mengintai kesatuan dengan parti komponen lain, kesemua parti komponen PH harus memastikan kesatuan mereka bertiga telah utuh dan isu berbangkit antara mereka diselesaikan. Ingat, selesai dari atas kebawah, bukan atas sahaja, bukan bawah sahaja.

27. Jika, melibatkan parti dalam komponen lain menyebabkan PH berpecah-belah, usaha mengukuhkan PH perlu dilakukan terlebih dahulu.

28. Yang penting PH, tidak akan bercerai-berai!