PH tidak jaga kepentingan Melayu Islam, tegas Pemuda Umno

PH tidak jaga kepentingan Melayu Islam, tegas Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menjaga kepentingan Melayu Islam.

Bahkan, ujarnya, blok parti pemerintah itu dianggap tidak menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Rakyat melihat kerajaan PH tidak menjaga kepentingan Melayu Islam malahan tidak menjaga kepentingan rakyat,” jelasnya pada sidang media di Pusat Arahan BN PRK N24 Semenyih petang tadi.

Sidang media itu diadakan sejurus selesai mesyuarat penyelarasan jentera pilihan raya kali pertama di antara Pemuda Umno, Pas, Berjasa dan Ikatan.

Sehubungan itu, Dr Asyraf Wajdi berkata, pilihan raya kecil akan datang adalah peluang untuk rakyat bersuara.

“Ini boleh dijadikan referendum rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Rakyat tidak dapat apa yang dijanjikan (pada pilihan raya umum lalu). Harga minyak (petrol) pun naik. Rakyat nantikan RM1.50 (seliter).

“Paling ketara isu tol. Rakyat di Semenyih berdepan dengan isu tol. Kamera AES janji mahu hapus sebaliknya lagi ditambah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf Wajdi menyifatkan kerajaan PH sebagai sombong apabila berkuasa.

“Rakyat seolah-olah ditekan dan ditindas apabila sudah berkuasa,” ujarnya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih akan berlangsung pada 2 Mac depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari ini.

Terdapat 36,857 (69.2 %) pengundi Melayu daripada jumlah keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar di Dun Semenyih.