PH tidak pernah diskriminasi golongan masyarakat, kata Adun Teluk Air Tawar

PH tidak pernah diskriminasi golongan masyarakat, kata Adun Teluk Air Tawar

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan masyarakat termasuk kaum minoriti dalam negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad ketika ditemui semasa majlis bersama masyarakat di Teluk Air Tawar semalam.

Jelas beliau lagi, sejarah Pulau Pinang sendiri telah terbukti sejak diperintah oleh Pakatan Rakyat lagi, semua golongan masyarakat diberi pembelaan.

“Kini dibawah kepimpinan PH membela nasib semua golongan masyarakat menjadi keutamaan.

“PH tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum maupun agama dalam negeri maupun negara ini.

“Sejak menerajui kepimpinan Pulau Pinang telah memperkenalkan pelbagai program kebajikan bagi bayi yang baru lahir sehinggalah kepada mereka yang meninggal dunia, ” tegasnya lagi.

Mustafa Kamal ketika program bersama masyarakat di Teluk Air Tawar semalam.

Malah katanya program i-Sejahtera yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri memberi manfaat melalui sumbangan berbentuk ‘one off’ berterusan seperti sumbangan kepada bayi yang baru lahir melalui program anak emas.

“Selain dari itu sumbangan juga diberikan kepada pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat melalui program pelajar emas.

Loading...

“Manakala bagi warga emas yang berusia enam puluh tahun dan keatas mereka turut menerima sumbangan tahunan sebanyak RM130 hingga kini.

“Begitu juga dengan program ibu emas yang turut disumbangkan kepada suri rumah yang tidak bekerja, ” ujarnya lagi.

Disamping itu katanya sumbangan khairat sebanyak RM1000 juga diteruskan kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

“Program kebajikan lain yang turut disalurkan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh PH amat jauh bezanya dengan apa yang pernah dilaksanakan semasa pemerintahan BN sebelum 2008.

“Nelayan, pemandu teksi, penarik beca dan juga operator bas sekolah turut mendapat perhatian kerajaan negeri melalui beberapa bentuk insentif kebajikan yang menjadi rutin hingga kini.

“Pelajar yang berjaya meneruskan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi juga tidak pernah dikecualikan apabila sumbangan juga diberikan kepada mereka bagi meringankan beban, ” tambahnya.

Sejajar dengan itu katanya, dakyah yang dilemparkan oleh sesetengah pihak bahawa kerajaan PH tidak membela nasib golongan tertentu tidak benar dan menyimpang dari hakikat sebenar.