Malaysia Dateline

PH tidak setuju Sulaiman KM ‘caretaker’, sepatutnya perbincangan dilakukan

Majlis Presiden Pakatan Harapan menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sebelum DUN dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri.

PH menegaskan, sepatutnya perbincangan diadakan terlebih dahulu antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, bersama blok majoriti yang diketuai Adly Zahari dan blok minoriti yang diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

Malah katanya, seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.

“Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada
ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat

“Penting ditegaskan bahawa Pakatan Harapan menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN-ADUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad Sabu; DAP Lim Guan Eng; Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Justeru itu PH, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN.