PH tidak terjejas walau Zahid kembali terajui Umno, kata Anwar

PH tidak terjejas walau Zahid kembali terajui Umno, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pakatan Harapan (PH) tidak terjejas walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali memegang jawatan sebagai Presiden Umno.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, keputusan Ahmad Zahid itu menunjukkan Umno belum mantap.

“Pemimpin yang diserahkan menjalankan tugas Presiden juga tidak mendapat dukungan kuat.

“Saya bukan ahli Umno. Ya saya pernah menjadi Timbalan Presiden Umno pada 1998.

“Pada saya, Ahmad Zahid kembali daripada cuti itu adalah keputusan dalaman Umno. Ia tidak menjejaskan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Rabu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim; Naib Presiden, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Ahad lalu, ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks Umno Bagan Datuk, Ahmad Zahid mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden Umno.

Beliau kembali menjalankan tugas itu selepas bercuti selama enam bulan daripada jawatan itu sejak 18 Disember tahun lalu.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mengumumkan akan bercuti daripada jawatan Presiden Umno dan menyerahkan tugas itu kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.