Malaysia Dateline

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina

Pakatan Harapan (PH) tidak menolak sebarang hasil kajian yang dilakukan mana-mana pihak mengenai pakatan itu sekiranya ia dijalankan secara ilmiah dan boleh diguna pakai.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasil kajian itu boleh digunakan oleh kerajaan PH untuk menambah baik usaha dalam meyakinkan dan memberi kefahaman kepada rakyat.

“Apapun, itu satu kajian yang dibuat oleh satu badan pemikir, biasanya kita tidak menolak apa-apa hasil dari kajian-kajian akademik yang dilakukan. Kalau ia bersandarkan pada cara-cara kajian ilmiah yang boleh diguna pakai, saya tak pasti berapa sampling yang dipakai, berapa ribu, apapun ini satu hasil daripada mereka.

“Kalau mereka (badan pemikir) berkata penerimaan anak-anak muda pada PH masih rendah, kita kena usaha untuk tingkatkan program kita, bukan sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi juga PH untuk menarik lebih ramai anak muda dalam pelbagai kegiatan di samping program dan usaha yang dibuat kerajaan sendiri untuk menentukan supaya anak-anak muda mendapat faedah daripadanya,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Contohnya, di peringkat PH sendiri sedar mengenai keperluan meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan kerana ada anak muda yang sudah menamatkan pengajian tetapi masih belum mendapat pekerjaan.

“Ini akan menimbulkan masalah dan menimbulkan rasa tidak puas hati (di kalangan mereka) . Jadi, di bawah kementerian-kementerian dalam kerajaan Pusat sendiri, ada usaha untuk menambah peluang pekerjaan,” tambah Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu.

Selain itu, golongan muda dikenal pasti mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam teknologi dan sebagainya, yang dilihat boleh menambah nilai kepada langkah-langkah kerajaan menerusi badan-badan tertentu.

“Pendek kata daripada kajian-kajian itu, kita akan ambil hasil (kajian itu) dan teliti balik. Kita tidak perlu terasa gundah-gulana walaupun (hasil) menunjukkan trend yang tidak menggalakkan, (itu) mungkin kelemahan dari segi nak jelaskan dasar perjuangan parti kita, dasar kerajaan yang belum difahami, itu kita kena pertingkatkan lagi usaha,” tambah Ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata dari setengah juta ahli Bersatu seluruh negara, sebahagian besar terdiri daripada anak-anak muda yang menganggotai sayap Srikandi dan Armada serta berusia bawah 35 tahun.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil kajian sebuah badan pemikir iaitu EMIR Research mengenai sokongan dan pandangan rakyat terhadap parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kajian berdasarkan 1,992 responden itu mendapati antara lain, Pakatan Harapan (PH) mendapat undian tertinggi sebanyak 41 peratus berbanding UMNO dan PAS 38 peratus bagi kerusi Parlimen, diikuti 17 peratus responden memilih parti Bebas manakala empat peratus lagi tidak berminat untuk mengundi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin berkata pihaknya akan mempertingkatkan usaha menambah keahlian parti itu di parlimen berkenaan.

“Kini kita dah ada 15 cawangan. Insya-Allah, kita nak selesaikan baki cawangan dalam tahun depan, saya jangka ahli akan bertambah di semua kampung dan bila ada ahli di kampung-kampung berkenaan, kita akan membentuk cawangan baru,” kata beliau.

Setakat ini, terdapat 43 pusat daerah mengundi di parlimen berkenaan, yang mana melihatkan keperluan untuk mempunyai satu cawangan bagi setiap PDM berkenaan.

Turut hadir pada mesyuarat bahagian itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong.