Malaysia Dateline

PH tolak alasan darurat, hanya beri kuasa mutlak kepada Muyiddin

Pakatan Harapan (PH) menolak alasan-alasan yang dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membolehkan darurat di istiharkan kerana ia hanya memberikan kuasa mutlak kepada Perdana Menteri sedangkan ia tidak perlu.

“Malah kami melihat tindakan menggantung parlimen dan dewan-dewan undangan negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat,” kata pemimpinan kanan PH selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya,” kata tiga pemimpin kanan PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas mesyuarat dua jam Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Anwar yang juga presiden PKR di Petaling Jaya sebentar tadi.

Majlis Presiden menegaskan undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam, cukup untuk mengumpul sumber dan kekuatan bagi mengatasi Covid-19.

“Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata mereka.

PH juga berkata tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat ketika dia kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” kata mereka.